CHEMPAKA, 22 Mac - Kemenangan calon pas, Ustaz Fathan dalam pilihanraya kecil dun Chempaka membuktikan rakyat Chempaka mahukan delegasi Almarhum Tuan Guru diteruskan.

Pengerusi Pilihanraya Negeri Kelantan, Yang Berhormat Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kejayaan ini bukan milik peribadi (Ustaz Fathan) tetapi seluruh penggerak jentera parti Islam.

Chempaka berjaya melahirkan pemimpin yang cintakan Islam dan berbakti kepada masyarakat seperti jasa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

"Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana pengundi Chempaka terus menyokong kepimpinan Islam. Jutaan terima kasih juga kepada pengundi luar yang sanggup pulang ke Kelantan, malah ada yang sanggup pulang dari Borneo semata-mata untuk mengundi."

"Saya juga berbesar hati dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Kepada semua jentera parti di semua peringkat samada di peringkat induk; Bilik Operasi, Penerangan, Unit IT, Keselamatan, Unit Amal, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan paling penting kepada Pas Pengkalan Chepa dan Pas Chempaka yang telah memberikan pengorbanan yang maksimum untuk memastikan kemenangan pada malam ini," ulasnya.

"Secara peribadi, saya juga kagum melihat kesungguhan jentera-jentera muslimat, pemuda dan lantikan politik yang turun berkempen rumah ke rumah sehingga ke detik terakhir proses pembuangan undi pada jam 5:00 petang tadi."

"Saya menghargai usaha jentera parti untuk memenangkan PAS. Jadikan kemenangan ini sebagai amanah untuk kita merealisasikan impian Almarhum bagi melihat Islam terus subur di bumi Kelantan," katanya.