KOTA BHARU - Jumlah undian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka menunjukkan penurunan 55 peratus berbanding 85.9 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, angka terbabit menunjukkan ramai pengundi tidak keluar mengundi walaupun pada hari cuti umum.

"Daripada jumlah pengundi di Dun terbabit yang berjumlah 21,890 hampir separuh dari angka itu iaitu 12,035 keluar mengundi.

"Ini menunjukkan trend biasa di mana jika parti yang mentadbir (BN) tidak bertanding maka jumlah undian akan menurun,"katanya dalam sidang media di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa di sini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: SPR anggar 55 peratus keluar mengundi ]

Bagaimanapun beliau berkata, penurunan jumlah tersebut telah dijangka ekoran PRK kali ini tidak disertai BN.

"Pihak SPR bagaimanapun berpuas hati dengan perjalanan PRK kali ini walaupun penurunan jumlah keluar mengundi menurun,"katanya.

Beliau berkata perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana pengalaman-pengalaman sebelum ini akan menunjukkan penurunan sekiranya BN tidak meletakkan calon.- SINAR HARIAN 22/3/2015