KOTA BAHARU - 22 Mac 2015 - Pagi ini, Chempaka cerah disimbah cahaya. Bulan terang Akhir Jamadil memberi laluan kepada warga Chempaka untuk turun menjalankan kewajipan.

Legasi jagaan Almarhum Tuan Guru selama tujuh penggal kini bakal berubah tuan.

Hari ini hari penentuan.

Jam 8:12 pagi, calon Pas berjalan masuk ke pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa. Wajah segar calon berusia 42 tahun ini disambut oleh petugas-petugas pilihanraya yang bersedia menyambut beliau di pusat mengundi ini, yang menjadi antara 10 pusat pembuangan undi bagi PRK Dun Chempaka kali ini.

Aiman bin Arzmi, 22 tahun, anak muda pengusaha jualan air minuman, awal-awal pagi lagi sudah berada di luar pagar sekolah, menyiapkan peralatan jualan. Di tengah-tengah cuaca cerah sebegini, ramai yang bakal mencari air minuman.

Yakin bahawa Pas akan menang, beliau menjelaskan, "Semua orang kat sini, tidak kira orang muda ke, orang tua ke, semua nakkan (mahukan) PAS. Semuanya yakin Ust Fathan mampu menggantikan Almarhum Tuan Guru."

Begitu juga, seorang petugas muslimat menyatakan, "Pengalaman saya turun menziarah rumah ke rumah sepanjang PRK kali ini, semua yang saya temui menyatakan menyokong calon PAS. Saya tidak pastilah bagaimana dengan petugas lain, tapi kalau saya, begitulah."

"Saya yakin dan saya doakan, PAS akan menang. InsyaAllah."