KOTA BAHARU, 22 Mac - Pengundi-pengundi di N06 Dun Chempaka diminta hadir menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi walaupun secara umumnya banyak pihak menjangkakan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan bin Mahmood akan memenangi kerusi yang pernah disandang oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz tersebut.

YDP Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman ketika ditemui menasihatkan agar para pengundi harus keluar mengundi walaupun suasana pilihanraya Dun Chempaka tidak menghadapi saingan daripada UMNO dan Barisan Nasional.

“Kita tidak lawan UMNO. Kita lawan empat calon bebas. Walaupun tidak sengit, tetapi (rakyat) mesti kena keluar mengundi. Jangan pandang ringan perkara ini,” ulas beliau.

Mengulas tentang kecaknaan pengundi dengan pilihanraya kecil Dun Chempaka, beliau mengatakan bahawa pada peringkat awal wujudnya persepsi bahawa tidak berlaku pilihanraya kecil apabila UMNO memutuskan untuk tidak menghantar calon. Namun perkara ini telah berjaya diselesaikan dan majoriti rakyat sudah maklum mengenai wujudnya pertandingan di dalam pilihanraya kali ini.

Majoriti yang diraih oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebanyak 6,500 undi melebihi calon Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-13.