KOTA BHARU - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) menjangkakan 70 peratus pengundi awal akan keluar membuang undi untuk PRK Dun Chempaka kali ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Hashim Abdullah ketika ditemui berkata, sehingga jam 10 pagi tadi sebanyak 18.1 peratus iaitu melibatkan 271 pengundi tentera keluar menjalankan tanggajawab mengundi di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa.

"Alhamdulillah keadaan cuaca pun baik dan kami mengharapkan lebih ramai keluar selepas ini terutamanya kaum wanita yang juga isteri-isteri anggota,"katanya ketika membuat pemantauan pengundian awal di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa.

Menurutnya, seramai 1,497 anggota dan isteri bakal membuang undi hari ini dan pihak tentera telah pun menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang berada di luar kawasan terutamanya yang terlibat dalam latihan peralihan.

Beliau juga berharap suasana tenang kekal sehingga tamat proses pengundian jam 5 petang walaupun kelima-lima calon hadir memberi sokongan kepada pengundi sejak awal pagi tadi. SINAR HARIAN 18/3/2015