KOTA BHARU - Kepercayaan yang diberikan pengundi di Unit Peti Undi (UPU) Sabak terhadap Pas tidak perlu dipersoalkan lantaran setiap kali pilihan raya peti undi berkenaan tidak pernah menghampakan.

Malah majoriti 400 undi yang diperoleh ketika PRU13 lalu membuktikan pengundi di kawasan itu cukup serasi dengan Pas atau dengan kata lain begitu menyanjung bekas Adun mereka, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebagaimana sembilan UPU lain di bawah Dun Chempaka, peti undi Sabak mempunyai kelebihannya sendiri apabila begitu setia bersama kepimpinan Pas sejak sekian lama, malah difahamkan sebelum Pas menerajui Kelantan pada 1990 pun, peti undi tersebut sudah menyokong Pas.

Terdapat 1500 penduduk daripada 300 keluarga di bawah peti undi Sabak yang terdiri daripada Melayu dan China, dan sebahagian besar daripada mereka bekerja sebagai nelayan.

Pengundi di UPU Sabak yang terdiri daripada 1641 pengundi berdaftar termasuk 150 pengundi luar akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak pada 22 Mac depan.

Di bawah UPU Sabak pula terdapat tujuh kampung iaitu, Kampung Sabak, Kemerok, Taman Tok Guru, Surau Lama, Dusun Mangkok, Sabak Tengah, dan Baroh Masin.


Asal usul Sabak

Nama Kampung Sabak dikatakan diabadikan daripada nama seorang petani, Tok Sabak, yang begitu gemar bercerita bukan sahaja kepada kanak-kanak malah seluruh warga kampung berkenaan menyebabkan dia disukai semua peringkat usia.

Kepetahannya bercerita di samping sikap ramah yang dimiliki membuatkan dia turut dikenali dalam kalangan penduduk kampung sekitar, malah mereka sanggup ke kampung berkenaan semata-mata untuk mendengar cerita disampaikan Tok Sabak.

Disebabkan kampung itu terkenal kerana kepetahan Tok Sabak, penduduk bersetuju menamakan kampung mereka sebagai Kampung Tok Sabak, namun lama-kelamaan ia menjadi Kampung Sabak sahaja.

Sabak mencatat beberapa peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila pantainya dikatakan menjadi pendaratan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Pantai Sabak yang begitu strategik dijadikan kubu pertahanan tentera Inggeris semasa tercetusnya peperangan tersebut, sehingga membawa kepada pembinaan benteng pertahanan yang kuat di kawasan pantai berkenaan sebagai pangkalan utama untuk menghalang kemaraan tentera Jepun dari laut.

Pada 8 Disember 1941, apabila tentera Jepun mula menyerang Tanah Melayu, Pantai Sabak menjadi medan peperangan pertama.

Tentera-tentera Inggeris yang berkubu di Pantai Sabak telah memberi tentangan hebat untuk menghalang tentera Jepun daripada mendarat.

Walau bagaimanapun, tentera Jepun berjaya menewaskan pertahanan Inggeris di Pantai Sabak, seterusnya menguasai Pengkalan Chepa dan seluruh Kota Bharu jatuh ke tangan Jepun pada 9 Disember 1941.

Kejayaan tentera Jepun menawan bandar Kota Bharu dalam masa sehari sahaja membuktikan kekuatan dan semangat tentera Jepun yang tinggi.

Semasa serangan yang dilancarkan untuk mendarat di Pantai Sabak, pihak Jepun juga telah membakar kapal-kapal milik mereka untuk memberi semangat terhadap perjuangan tentera-tenteranya yang tidak mempunyai pilihan lain kecuali terus mara.

Oleh sebab itu, Kubu Pantai Sabak dapat diserang tentera Jepun walaupun pada hakikatnya ia dianggap kuat dan kukuh.

Namun begitu, pada hari ini kesan Kubu Pantai Sabak sudah tidak kelihatan disebabkan berlakunya hakisan dan telah ditenggelami air laut.

Bagi mengenang sejarah pertempuran di kubu tersebut, pihak Muzium Negeri Kelantan telah membina satu tugu di Pengkalan Chepa yang tidak jauh dari Kubu Pantai Sabak, kawasan dinamakan Taman Kediaman ini adalah antara usaha pihak muzium untuk memelihara kesan-kesan sejarah untuk tontonan generasi akan datang. SINAR HARIAN 16/3/2015